Jam 00:00:00

Nabi Ismail

 


Sampai Nabi Ibrahim berhijrah meninggalkan Mesir bersama Sarah, isterinya, dan Hajar, dayangnya, menuju tempat tujuannya di Palestin. Ia juga membawa pindah semua binatang ternaknya serta harta miliknya yang telah diperolehnya sebagai hasil usaha niaganya di Mesir.

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. yang berkata: pertama kali yang menggunakan setagi (setagen) ialah Hajar, ibu Nabi Ismail, dengan tujuan menyembunyikan kandungannya dari Siti Sarah yang telah lama berkumpul dengan Nabi Ibrahim a.s. tetapi belum juga hamil. Walau bagaimanapun, akhirnya terbukalah rahsia yang disembunyikan itu dengan lahirnya Nabi Ismail a.s.

Sebagaimana lazimnya seorang isteri, Siti Sarah merasa bahawa dirinya telah dikalahkan oleh Siti Hajar yang hanya seorang dayang yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s. Sejak saat itu, Siti Sarah merasakan bahawa Nabi Ibrahim lebih banyak mendekati Hajar kerana sangat gembira dengan puteranya yang tunggal dan pertama itu. Hal inilah yang menyebabkan permulaan keretakan dalam rumah tangga Nabi Ibrahim a.s., sehingga Siti Sarah merasa tidak tahan jika melihat Siti Hajar.

Akhirnya ia meminta kepada Nabi Ibrahim agar menjauhkan Hajar dari pandangannya dan menempatkannya di tempat lain. Untuk suatu hikmah yang belum diketahui dan disedari oleh Nabi Ibrahim, Allah s.w.t. mewahyukan kepadanya agar keinginan dan permintaan Sarah isterinya dipenuhi. Maka dijauhkanlah Ismail bersama ibunya, Hajar, ke suatu tempat yang akan dituju oleh Nabi Ibrahim, di mana Ismail bersama ibunya akan ditempatkan dan kepada siapa mereka akan ditinggalkan.

Dengan penuh tawakkal kepada Allah, berangkatlah Nabi Ibrahim meninggalkan rumah membawa Hajar dan Ismail yang diboncengkan di atas untanya tanpa tujuan yang pasti. Ia hanya berserah diri kepada Allah yang akan memberi arah kepada binatang tunggangannya.

Berjalanlah unta Nabi Ibrahim dengan tiga hamba Allah di atas punggungnya keluar kota, masuk ke lautan pasir dan padang terbuka, di mana terik matahari menyengat tubuh dengan pedihnya dan angin kencang menghemburkan debu-debu pasir.


Ismail dan Ibunya Hajar Ditinggalkan di Makkah

Setelah berminggu-minggu berada dalam perjalanan jauh yang memenatkan, akhirnya Nabi Ibrahim bersama Ismail dan ibunya tiba di Makkah, kota suci di mana Kaabah didirikan dan menjadi pujaan manusia dari seluruh dunia.

Di tempat di mana Masjidil Haram sekarang berada, berhentilah unta Nabi Ibrahim mengakhiri perjalanannya. Di situlah ia meninggalkan Hajar bersama puteranya dengan hanya dibekali serantang bekal makanan dan minuman. Keadaan sekitarnya tidak terdapat tumbuh-tumbuhan, tidak ada air mengalir, dan yang terlihat hanyalah batu serta pasir kering.

Alangkah sedih dan cemasnya Hajar ketika akan ditinggalkan oleh Ibrahim seorang diri bersama anaknya yang masih kecil di tempat yang sunyi senyap itu. Ia merintih dan menangis sambil memegang kuat-kuat baju Nabi Ibrahim, memohon belas kasihan agar tidak ditinggalkan seorang diri di tempat yang kosong itu.

Di sana tidak ada seorang manusia pun, tidak ada seekor binatang, tidak ada pohon, dan tidak terlihat pula air yang mengalir. Padahal ia masih harus mengasuh anak kecil yang masih menyusu.

Nabi Ibrahim mendengar keluh kesah Hajar dan merasa tidak tergamak meninggalkannya seorang diri di tempat itu bersama puteranya yang sangat disayangi. Namun ia sedar bahawa apa yang dilakukan itu adalah kehendak Allah s.w.t. yang tentu mengandungi hikmah yang masih terselubung baginya. Ia juga yakin bahawa Allah akan melindungi Ismail dan ibunya dalam tempat pengasingan itu dari segala kesukaran dan penderitaan.

Ia berkata kepada Hajar:

“Bertawakkallah kepada Allah yang telah menentukan kehendak-Nya. Percayalah kepada kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintah aku membawa kamu ke sini dan Dialah yang akan melindungimu serta menyertaimu di tempat yang sunyi ini. Sesungguhnya, kalau bukan perintah dan wahyu-Nya, tidak sekali-kali aku tergamak meninggalkan kamu di sini seorang diri bersama puteraku yang sangat kucintai ini. Percayalah wahai Hajar bahawa Allah Yang Maha Kuasa tidak akan melantarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya, insya-Allah.”

Mendengar kata-kata Ibrahim itu, segeralah Hajar melepaskan genggamannya pada baju Ibrahim. Nabi Ibrahim pun menunggang untanya kembali ke Palestin dengan iringan air mata yang bercucuran membasahi tubuh Ismail yang sedang menyusu.

Nabi Ibrahim sendiri tidak dapat menahan air matanya ketika turun dari dataran tinggi meninggalkan Makkah menuju kembali ke Palestin, tempat isterinya Sarah bersama puteranya yang kedua, Ishak, menanti.

Sepanjang perjalanan pulang, ia tidak henti-hentinya memohon kepada Allah agar diberikan perlindungan, rahmat, barakah, serta kurniaan rezeki bagi puteranya dan ibunya yang ditinggalkan di tempat terasing itu. Ia berdoa:

“Wahai Tuhanku! Aku telah tempatkan puteraku dan anak-anak keturunannya di dekat rumah-Mu (Baitullahil Haram) di lembah yang sunyi dari tanaman dan manusia agar mereka mendirikan solat dan beribadat kepada-Mu. Jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan yang lazat, mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu.”


Mata Air Zamzam

Sepeninggal Nabi Ibrahim, tinggallah Hajar dan puteranya di tempat yang terpencil dan sunyi itu. Ia harus menerima takdir Allah dengan kesabaran dan keyakinan penuh akan perlindungan-Nya.

Bekalan makanan dan minuman yang dibawanya dalam perjalanan akhirnya habis dimakan beberapa hari setelah kepergian Nabi Ibrahim. Maka mulailah terasa beratnya beban hidup yang harus ditanggungnya sendiri tanpa bantuan suaminya.

Ia masih harus menyusui anaknya, namun air susunya makin lama makin mengering kerana kekurangan makanan. Anak yang tidak mendapat minuman yang cukup dari ibunya mulai menjadi gelisah dan tidak henti-hentinya menangis.

Ibunya menjadi panik, bingung, dan cemas mendengar tangisan anaknya yang sangat menyayat hati itu. Ia menoleh ke kanan dan ke kiri serta berlari ke sana ke sini mencari sesuap makanan atau seteguk air yang dapat meringankan kelaparannya dan meredakan tangisan anaknya.

Namun sia-sialah usahanya. Ia berlari menuju bukit Shafa, berharap menemukan sesuatu yang dapat menolongnya. Akan tetapi yang didapatnya hanyalah batu dan pasir. Dari bukit Shafa ia melihat bayangan air di atas bukit Marwah, lalu ia berlari ke sana. Ternyata yang disangkanya air hanyalah fatamorgana.

Ia kembali ke bukit Shafa kerana seakan-akan mendengar suara yang memanggilnya, namun dugaannya meleset. Demikianlah Hajar mundar-mandir berlari antara bukit Shafa dan Marwah sampai tujuh kali.

Akhirnya ia duduk termenung kerana keletihan dan hampir berputus asa.

Diriwayatkan bahawa ketika Hajar berada dalam keadaan tidak berdaya dan hampir berputus asa kecuali berharap kepada rahmat Allah dan pertolongan-Nya, datanglah kepadanya malaikat Jibril dan bertanya:

“Siapakah sebenarnya engkau ini?”

“Aku adalah hamba sahaya Ibrahim,” jawab Hajar.

“Kepada siapa engkau dititipkan di sini?” tanya Jibril lagi.

“Hanya kepada Allah,” jawab Hajar.

Lalu berkata Jibril:

“Jika demikian, maka engkau telah dititipkan kepada Dzat Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, yang akan melindungimu, mencukupi keperluan hidupmu, dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan ayah puteramu kepada-Nya.”

Kemudian diajaklah Hajar mengikuti Jibril pergi ke suatu tempat. Di sana Jibril menginjakkan telapak kakinya kuat-kuat di atas tanah. Maka segeralah memancur dari bekas telapak kaki itu air yang jernih dengan kuasa Allah.

Itulah mata air Zamzam yang sehingga kini dianggap keramat oleh para jemaah haji yang berdesakan di sekelilingnya untuk mendapatkan setitik atau seteguk air daripadanya. Kerana sejarahnya, mata air itu disebut oleh orang sebagai “Injakan Jibril.”

Alangkah gembira dan lega hati Hajar melihat air yang memancar itu. Ia segera membasahi bibir puteranya dengan air tersebut, lalu wajah puteranya kembali segar. Demikian pula wajah si ibu yang merasa sangat bahagia dengan datangnya mukjizat dari sisi Tuhan yang mengembalikan kesegaran hidup kepadanya dan kepada puteranya setelah sebelumnya dibayangi ancaman mati kelaparan.

Mancurnya air Zamzam telah menarik burung-burung berterbangan mengelilingi daerah itu. Hal ini menarik pula perhatian sekelompok bangsa Arab dari suku Jurhum yang sedang merantau dan berkhemah di sekitar Makkah.

Mereka mengetahui dari pengalaman bahawa di mana terlihat burung berterbangan di udara, biasanya di tempat itu terdapat air. Maka diutuslah oleh mereka beberapa orang untuk memeriksa kebenaran dugaan itu.

Para utusan itu pergi mengunjungi daerah di mana Hajar berada, kemudian kembali membawa berita gembira kepada kaumnya tentang adanya mata air Zamzam serta keadaan Hajar bersama puteranya.

Segera suku Jurhum memindahkan perkhemahannya ke tempat sekitar Zamzam. Kedatangan mereka disambut dengan gembira oleh Hajar kerana dengan adanya mereka di sekitarnya, ia memperoleh jiran-jiran yang dapat menghilangkan kesunyian dan kesepian yang selama ini dirasakannya ketika hidup berdua sahaja dengan puteranya.

Hajar bersyukur kepada Allah yang dengan rahmat-Nya telah membuka hati orang-orang itu untuk datang meramaikan dan memecahkan kesunyian lembah tempat ia ditinggalkan sendirian oleh Ibrahim.


Nabi Ismail Sebagai Qurban

Nabi Ibrahim dari masa ke masa pergi ke Makkah untuk mengunjungi dan menjenguk Ismail di tempat pengasingannya. Tujuannya adalah untuk menghilangkan rasa rindu hatinya kepada puteranya yang sangat disayangi serta menenangkan hatinya yang selalu gelisah apabila mengenangkan keadaan puteranya bersama ibunya yang tinggal di tempat yang tandus dan jauh dari masyarakat kota serta pergaulan umum.

Ketika Nabi Ismail mencapai usia remaja, Nabi Ibrahim a.s. mendapat mimpi bahawa ia harus menyembelih Ismail, puteranya. Mimpi seorang nabi adalah salah satu cara turunnya wahyu Allah, maka perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim.

Ia duduk sejenak termenung memikirkan ujian yang sangat berat yang dihadapinya. Sebagai seorang ayah yang dikurniai seorang putera yang telah puluhan tahun dinantikan dan didambakan, seorang putera yang telah mencapai usia di mana jasanya sudah dapat dimanfaatkan oleh ayahnya, seorang putera yang diharapkan menjadi pewaris dan penerus keturunannya, tiba-tiba harus dijadikan qurban dan nyawanya harus direnggut oleh tangan ayahnya sendiri.

Namun sebagai seorang nabi, pesuruh Allah, dan pembawa agama yang harus menjadi contoh dan teladan bagi para pengikutnya dalam ketaatan kepada Allah, Nabi Ibrahim harus melaksanakan perintah Allah itu. Ia harus menempatkan cintanya kepada Allah di atas cintanya kepada anak, isteri, harta benda, dan segala yang lain.

Walaupun ujian itu sangat berat, Nabi Ibrahim tidak membuang masa lagi. Ia berazam tetap akan menyembelih Nabi Ismail sebagai qurban sesuai dengan perintah Allah yang diterimanya dalam mimpi.

Maka berangkatlah Nabi Ibrahim menuju Makkah untuk menemui puteranya dan menyampaikan kepadanya perintah Allah tersebut.


Nabi Ismail sebagai anak yang soleh dan sangat taat kepada Allah serta berbakti kepada orang tuanya, ketika diberitahu oleh ayahnya maksud kedatangannya kali ini, tanpa ragu-ragu dan tanpa berfikir panjang berkata kepada ayahnya:

“Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan mendapatiku, insya-Allah, sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah. Kedua, agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurangnya pahalaku dan membuat ibuku terharu bila melihatnya. Ketiga, tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah pelaksanaan penyembelihan agar meringankan penderitaan dan rasa pedihku. Keempat dan yang terakhir, sampaikanlah salamku kepada ibuku, berikanlah kepadanya pakaianku ini untuk menjadi penghibur dalam kesedihannya dan sebagai tanda mata serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya.”

Kemudian dipeluklah Ismail dan dicium pipinya oleh Nabi Ibrahim seraya berkata:

“Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah, berbakti kepada orang tua, dan dengan ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah.”

Saat penyembelihan yang mengerikan telah tiba. Diikatlah kedua tangan dan kaki Ismail, lalu dibaringkanlah ia di atas lantai. Nabi Ibrahim mengambil parang tajam yang sudah tersedia. Dengan parang di tangannya, kedua mata Nabi Ibrahim yang tergenang air berpindah-pindah memandang wajah puteranya dan parang yang berkilau di tangannya.

Pada saat itu, hatinya seakan menjadi tempat pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajiban sebagai seorang rasul di pihak yang lain. Pada akhirnya, dengan memejamkan matanya, parang itu diletakkan pada leher Nabi Ismail dan penyembelihan pun dilakukan.

Akan tetapi apa daya, parang yang sudah sangat tajam itu ternyata menjadi tumpul ketika mengenai leher Nabi Ismail dan tidak dapat berfungsi sebagaimana mestinya dan sebagaimana yang diharapkan.

Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah yang menegaskan bahawa perintah pengorbanan Ismail itu hanyalah suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail untuk mengetahui sejauh mana cinta dan ketaatan mereka kepada Allah.

Ternyata keduanya telah lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Nabi Ibrahim telah menunjukkan kesetiaan yang tulus dengan kesediaannya mengorbankan puteranya demi melaksanakan perintah Allah. Sementara Nabi Ismail tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam memperagakan kebaktiannya kepada Allah dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa raganya untuk dikorbankan.

Ketika Ismail merasakan bahawa parang itu tidak mampu memotong lehernya, ia berkata kepada ayahnya:

“Wahai ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku kerana melihat wajahku. Cubalah telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku.”

Namun parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitik darah pun dari daging Ismail walaupun ia telah ditelangkupkan dan dicuba memotong lehernya dari belakang.

Dalam keadaan bingung dan sedih kerana gagal menyembelih puteranya, datanglah wahyu Allah kepada Nabi Ibrahim dengan firman-Nya:

“Wahai Ibrahim! Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat kebajikan.”

Kemudian sebagai tebusan atas nyawa Ismail yang diselamatkan itu, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelih seekor kambing yang telah tersedia di sampingnya.

Maka segera dipotonglah leher kambing itu oleh Nabi Ibrahim dengan parang yang sebelumnya menjadi tumpul ketika menyentuh leher puteranya Ismail.

Dari peristiwa inilah bermula sunnah berqurban yang kemudian dilakukan oleh umat Islam setiap tahun pada hari raya Aidiladha di seluruh pelosok dunia.